Mycni2us Weblog


Probiotik untuk cirit-birit
07/07/2008, 01:20
Filed under: Health And Living

ARKIB : 06/07/2008<!–         –>

Utusan Malaysia ( Bahagian Kesihatan )

‘‘Kerja saya memerlukan saya kerap berada di luar daerah mahupun di luar negara. Apa yang merisaukan, saya sering mendapat cirit-birit di kebanyakan masa saya berada di luar negara. Akibatnya, ia membuatkan saya tidak bermaya dan turut mengganggu tugasan saya. Adakah saya perlu memperbaiki pemakanan saya atau ada alternatif lain?’’

Jawapan:

Kejadian cirit-birit boleh disumbangkan oleh pelbagai faktor seperti pengambilan makanan dan minuman tercemar, terutamanya apabila mengembara ke suatu tempat baru.

Serangan cirit-birit biasanya berlaku dalam tempoh yang singkat. Serangan yang lebih lama mungkin memberi petanda kepada alahan atau masalah usus.

Oleh itu, semasa berada di tempat asing, pemilihan makanan dan minuman seharusnya dibuat dengan lebih berhati-hati terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan penyakit di samping aspek penjagaan kebersihan yang tidak dititikberatkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa pengambilan sesetengah antibiotik juga boleh menyebabkan cirit-birit. Ini kerana antibiotik juga turut membunuh bakteria bermanfaat.

Cirit-birit juga mempercepatkan kehilangan bakteria bermanfaat dalam saluran penghadaman, maka dengan itu adalah penting menambahkan semula bakteria bermanfaat dalam usus.

Penggunaan probiotik dalam menangani masalah penghadaman telah lama diperakui, namun pemilihan strain (jenis) probiotik yang tepat perlu diambil kira kerana ia haruslah dikaji akan keberkesanannya untuk menangani masalah tersebut.

Probiotik telah diperakui dalam menangani masalah dan melegakan simptom-simptom akibat ketidaksempurnaan sistem penghadaman, termasuk cirit-birit. Strain probiotik ini juga mampu bertahan dalam jus gastrik dan hidup di sepanjang saluran usus.



Sindrom Carpal Tunnel
21/03/2008, 10:03
Filed under: Health And Living

SINDROM Carpal Tunnel terjadi apabila saraf median pada pergelangan tangan tersepit.Ini disebabkan oleh terowong yang berada di bahagian tapak tangan sendi pergelangan tangan menjadi semakin sempit.

Terowong ini memberi laluan dan perlindungan kepada saraf median ke bahagian tangan dan sembilan tendon lain yang menggerakkan bahagian tangan.

Tekanan pada saraf median ini akan menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan.

Simptom Sindrom Carpal Tunnel bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Antara simptom yang biasanya terjadi adalah:

1. Kebas – pada bahagian tangan dan jari-jari tangan terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan jari manis tetapi tidak pula berlaku pada jari kecil. Rasa kebas ini akan menjadi lebih kuat terutamanya semasa memandu, semasa memegang objek seperti telefon atau surat khabar atau semasa bangun dari tidur. Kebanyakan pesakit akan menggoyangkan tangan mereka untuk mengurangkan simptom tersebut.

2. Kesakitan – yang terjadi pada sendi pergelangan tangan sehingga ke lengan atas, bahu atau ke tapak tangan dan jari, terutamanya selepas menggunakan tangan secara berterusan atau menggunakan tangan dengan kuat.

3. Rasa lemah pada bahagian tangan dan boleh menyebabkan objek yang dipegang akan jatuh.

Mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah golongan mengalami tekanan pada tangan atau penggunaan tangan yang berlebihan dalam pekerjaan, terutamanya melibatkan penggunaan tangan atau pergelangan tangan secara berlebihan, berulangulang dan dengan kuat.

Contoh pekerjaan yang melibatkan pergerakan seperti di atas adalah seperti bekerja di kilang pemasangan yang menggunakan jentera berat.

Walaupun penggunaan komputer yang berlebihan turut dikaitkan dengan Sindrom Carpal Tunnel namun belum ada bukti saintifik yang boleh mengaitkannya setakat ini.

Sindrom ini berpunca daripada tekanan pada saraf median di bahagian pergelangan tangan.

Punca tekanan pada saraf median ini tidak dapat dipastikan dengan tepat, tetapi ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

1. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil dan amyloid.

2. Penggunaan tangan yang berulang-ulang secara berpanjangan atau kecederaan pada bahagian pergelangan tangan.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

* Jantina: Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

* Keturunan: Ini berkaitan sekiranya ada di kalangan saudara-mara yang mengalami keadaan fizikal yang sama, seperti bentuk pergelangan yang sama.

* Keadaan kesihatan tertentu: Perubahan hormon seperti pada pesakit yang mengalami gangguan tiroid, obesiti, diabetes, wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. Sindrom Carpal Tunnel yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

* Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom Sindrom Carpal Tunnel yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Diagnosis

Sekiranya ada simptom dan tanda Sindrom Carpal Tunnel, doktor akan mencadangkan untuk melakukan beberapa ujian seperti:

1. Elektromygram: Untuk menentukan bahawa kerosakan otot pada bahagian tangan sudah berlaku atau tidak.

2. Nerve conduction study: Untuk melihat sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

Saraf median yang menyebabkan terjadinya simptom Sindrom Carpal Tunne tidak memberikan perubahan deria rasa pada jari kecil tangan.

Tanda lain seseorang menghidap sindrom ini adalah masa berlakunya simptom tersebut.

Masa simptom Sindrom Carpal Tunnel timbul adalah semasa memegang objek seperti telefon, surat khabar, memegang stereng ketika memandu atau ketika bangun dari tidur pada waktu pagi.

Doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan.

Dengan menekan tangan secara membongkokkan pergelangan tangan (phalen’s sign) atau mengetuk pada bahagian pergelangan tangan (tinel’s sign) turut akan menyebabkan simptom Sindrom Carpal Tunnel semakin jelas dan teruk.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda Sindrom Carpal Tunnel berlaku sekitar bahagian tangan.

Rawatan

Pesakit yang mengalami simptom yang tidak teruk boleh mengurangkan rasa sakit dan kebas dengan mengambil lebih banyak masa untuk merehatkan tangan atau membuat “cold packs” (ais) untuk mengurangkan bengkak pada tangan.

Terdapat juga kaedah rawatan lain yang melibatkan pembedahan atau tanpa bedah (non-surgical).

Kaedah tanpa pembedahan melibatkan:

* wrist splinting: Splinting (anduh) yang mengurangkan pergerakan pada pergelangan tangan akan mengurangkan simptom terutamanya pada waktu malam.

* non-steroidal anti-inlammatory drug (NSAIDs): Menggunakan ubat mengurangkan bengkak untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya mereka yang mengalami kesakitan disebabkan oleh keadaan yang berkaitan dengan pembengkakan bahagian tangan.

* steroid: Suntikan ubat jenis steroid ke dalam bahagian Carpal Tunnel boleh mengurangkan kesakitan. Pengambilan steroid secara oral pula mungkin tidak dapat mengurangkan simptom.

Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.

Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.

Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu.

Kira-kira 70 peratus pesakit yang menjalani pembedahan akan menyatakan bahawa simptom hilang sepenuhnya.

Namun, pesakit yang merokok dan mereka yang sering minum alkohol mungkin akan terus mengalami kesan simptom Sindrom Carpal Tunnel.

Pesakit yang mengalami Sindrom Carpal Tunnel akibat daripada penyakit rheumatoid arthritis pula dinasihat mendapatkan rawatan untuk penyakit berkenaan terlebih dahulu.



Pelbagai punca sakit dada
21/03/2008, 10:01
Filed under: Health And Living

UJIAN ECG tekanan (kiri) dapat membantu mengesan salur darah tersumbat.



SAKIT dada, sakit jantung. Ini telah menjadi satu pemahaman dan ketakutan di kalangan masyarakat negara ini sehinggakan banyak drama atau filem di negara ini menjadikannya satu klise untuk menunjukkan bencana dan tragedi keluarga. Setelah bertahun-tahun masyarakat didedahkan kepada ‘kefahaman’ ini, tidak hairanlah ramai yang bergegas mencari doktor apabila mengalami sakit dada kerana khuatir diserang sakit jantung.

Tidak boleh disangkal bahawa penyakit jantung menjadi pembunuh utama di negara ini dan banyak negara lain lagi. Memandangkan semakin ramai golongan muda yang diserang sakit jantung, tidak menghairankan juga golongan yang cemas ini terdiri daripada semua peringkat umur.

Namun, orang ramai perlu pandai membezakan antara serangan jantung dengan penyakit lain supaya perasaan cemas ketika mengalami sakit dada tidak membawa kepada kemudaratan lain.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan, serangan jantung biasanya menyebabkan kesakitan pada bahagian kiri atau tengah dada tetapi kadangkala boleh berlaku pada bahagian kanan dada juga.

“Rasa sakit ini seperti dada ditindih (ditekan), berat atau dibelit (sempit), dan boleh merebak dari dada ke leher, rahang atau lengan kiri

“Selain itu, rasa sakit akibat serangan jantung turut dikaitkan dengan simptom lain seperti berpeluh, rasa mual, sesak nafas dan rasa berdebar-debar (palpitation),” jelas beliau.

Kata beliau, rasa sakit ini juga datang dan pergi dan cuma bertahan untuk beberapa saat atau beberapa minit sahaja, serta dapat dikurangkan dengan berehat.

Tambahnya, serangan jantung juga dikaitkan dengan aktiviti fizikal berat seperti senaman terlalu kuat, mengangkat barang yang berat atau naik banyak anak tangga. Jika stres ditambah dengan perasaan marah yang membuak-buak, terdapat juga kemungkinan serangan jantung berlaku secara mendadak.

Jantung vs reflux

Perkara pertama dalam mengelakkan kekeliruan dan rasa cemas akibat sakit dada adalah mengenali simptom ketika berlakunya serangan jantung. Perasaan cemas adalah normal jika kesakitan timbul di tempat yang sebelum ini tidak pernah berasa sakit.

Tetapi jangan terlalu risau atau cemas sehingga memudaratkan lagi keadaan dan menyebabkan rasa sakit itu semakin kuat.

Antara punca sakit dada bukan akibat serangan jantung yang biasa ditemui adalah masalah reflux asid perut yang menyebabkan radang dan bengkak kepada esofagus serta rasa pedih hulu hati.

“Sistem badan manusia telah diatur untuk berfungsi dengan elok, dari atas turun ke bawah, yang mengalir pula dalam satu arah. Jika fungsi sistem badan terganggu sehingga menjadi songsong, itu mungkin tanda hadirnya penyakit tertentu dan rasa sakit itu pula sebagai petanda daripada badan, memaklumkan terdapat kepincangan dalam fungsi sistem berkenaan,” kata Dr. Ahmad Shukri.

Penyakit yang dikenali Reflux Gastroesophageal (GERD) ini merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh reflux asid dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, rasa pedih hulu hati yang berhampiran dengan kedudukan jantung ini mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Selalunya reflux berlaku selepas makan terutama bila individu berkenaan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak,” kata beliau.

Beliau menyatakan reflux juga menyebabkan rasa mual, rasa asid (masam) di dalam mulut dan tidak melibatkan simptom seperti serangan jantung (sesak nafas, rasa berdebar) serta tidak dikaitkan dengan aktiviti fizikal.

Tambahnya, reflux juga boleh menyebabkan simptom batuk yang kering pada waktu malam, serangan asma (lelah) disebabkan kekejangan bronkiol atau menyebabkan pesakit bangun mengejut pada waktu malam akibat sakit di bahagian dada.

Rasa pedih hulu hati berbeza dengan sakit jantung kerana melibatkan perasaan seperti terbakar (heart burn) yang berpanjangan. Makanan pedas atau berlemak boleh menyebabkan simptom ini berlaku atau menjadi bertambah teruk.

Saringan dan rawatan

Selain simptom, perlu juga diketahui ujian saringan bagi menentukan keadaan kesihatan anda serta menentukan rasa sakit pada dada berpunca daripada masalah jantung atau sebaliknya. Bukan sahaja ujian saringan, malahan cara rawatan untuk serangan jantung dan reflux juga berbeza.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, doktor akan menjalankan ujian elektrikal kardiogram (ECG) jika pesakit disyaki mempunyai masalah jantung atau mengalami serangan jantung.

“Selain ECG, ujian darah juga dijalankan untuk menentukan kandungan kolesterol dan gula di dalam darah.

“Doktor juga akan mengambil tekanan darah pesakit dan menguji kehadiran enzim jantung yang dikeluarkan jika jantung mengalami kecederaan,” kata beliau.

Jika ECG adalah normal tetapi masih disyaki masalah jantung, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan doktor akan melakukan ujian ECG tekanan (stres) yang memerlukan pesakit berlari di atas mesin treadmill bagi menguji kesannya terhadap jantung.

Beliau menjelaskan jantung akan memerlukan lebih banyak oksigen ketika menghadapi tekanan atau berlari dan perubahan pada bacaan ECG akan berlaku jika terdapat salur darah yang tersumbat.

Bagaimanapun, ujian ECG tekanan tidak memberikan bacaan yang 100 peratus tepat dan kadangkala boleh memberikan bacaan positif atau negatif yang salah. Ini merupakan antara batasan terhadap ujian saringan ini yang kadangkala boleh menunjukkan pesakit yang mempunyai masalah jantung sebagai sihat.

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan pesakit boleh menjalani ujian koronari angiogram jika ujian stres ECG juga normal sedangkan doktor masih mengsyaki masalah jantung.

“Ujian koronari angiogram boleh menunjukkan bilangan dan tahap salur darah koronari jantung yang tersumbat dengan lebih tepat. Selain angiogram, pesakit juga boleh menjalani ujian angiogram MultiSlice Computer Tomography (MSCT) yang hanya memerlukan suntikan di tangan dan lebih cepat,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menyatakan rawatan masalah jantung berbeza mengikut keadaan dan tidak semestinya memerlukan pembedahan besar.

Sekiranya doktor mengesan tanda positif pada ECG, Stres ECG atau MSCT, maka kaedah seterusnya yang terbaik adalah koronari angiogram yang membolehkan rawatan dilakukan pada saluran darah yang tersumbat melalui belon angioplasti dan stenting. Pembedahan pintasan jantung mungkin perlu dilakukan sekiranya bilangan dan tahap saluran koronari tersumbat terlalu serius. Selain itu, pesakit juga perlu meneruskan rawatan yang melibatkan penggunaan ubat bagi mengelakkan serangan jantung berulang.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan masalah reflux pula dapat ditentukan dengan ujian endoskopi (OGDS) bagi menentukan sama ada terdapat radang atau luka di saluran penghadaman esofagus, atau hiatal hernia yang menjadi punca masalah berkenaan.

“Ujian lain untuk masalah reflux adalah kajian pH saluran penghadaman esofagus selama 24 hingga 48 jam.

“Rawatan untuk masalah reflux pula lebih mudah dengan bertumpu kepada mengurangkan penghasilan asid perut,” jelas beliau.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, penghasilan asid perut boleh dikawal menggunakan ubat tertentu yang perlu diambil secara berkala oleh pesakit.

Dr. Ahmad Shukri menasihatkan sesiapa yang menghadapi sakit dada untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian lanjut dan juga untuk dirujuk kepada doktor pakar perut, jantung atau paru-paru mengikut penyakit yang disyaki.

“Perlu diingat sakit dada itu bukan hanya petanda sakit jantung tetapi mungkin juga melibatkan masalah kesihatan lain yang perlu dikenalpasti dengan segera untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.

“Jangan ambil mudah walaupun jika bukan disyaki serangan jantung dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor anda dengan segera,” tegas beliau.

Sebarang pertanyaan mengenai sakit dada boleh diajukan kepada Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh melalui e-mel ashukris@yahoo.co.uk

Risiko dan pencegahan

Terdapat dua jenis faktor risiko serangan jantung iaitu faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Faktor tidak boleh ubah termasuk umur lebih 40 tahun, jantina lelaki dan mempunyai sejarah keluarga sakit jantung pada usia muda. Faktor boleh ubah pula lebih melibatkan gaya hidup yang boleh dikawal seperti merokok, kolesterol tinggi, darah tinggi, diabetes, obesiti dan stres.

Serangan jantung juga boleh berlaku seawal usia 20-an akibat amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Bagi mereka yang aktif dalam sukan dan boleh berlari dalam jarak dua kilometer dengan mudah, rasa sakit dada berkemungkinan bukan akibat serangan jantung. Namun bagi mereka yang bermain sukan kurang tekanan seperti golf, sakit dada berkemungkinan menandakan serangan jantung terutamanya jika mereka kurang berjalan dan banyak menaiki kereta buggy sepanjang bermain golf. Senaman, diet rendah lemak dan tidak merokok menjadi antara kaedah utama yang dicadangkan untuk mengurangkan risiko dan mengelak mengalami serangan jantung.

Antara kumpulan yang berisiko menghidap reflux asid pula adalah perokok, berat badan berlebihan, mempunyai masalah hiatal hernia dan kuat minum kopi. Merokok dan tabiat sering minum kopi boleh melemahkan cerut atau spinkter esofagus dan akan memudahkan asid perut naik ke dalam saluran esofagus. Pesakit yang menghidap reflux perlu menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan makanan dalam hidangan kecil dengan kekerapan lebih tinggi, atau makan sedikit-sedikit, banyak kali setiap hari.

Punca-punca lain sakit dada

Aneurisme aorta yang bocor atau pecah

Masalah ini melibatkan salur darah yang membengkak dan lebih berbahaya daripada serangan jantung kerana boleh menyebabkan kematian mengejut pesakit. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan antara punca utamanya adalah tekanan darah tinggi. Selain itu, pesakit yang dijangkiti kuman siflis ketika masih muda juga menghadapi risiko aneurisme yang lebih tinggi selepas melewati umur 50 tahun.

* Pleuritis

Masalah ini melibatkan radang pada lapisan pleura iaitu membran yang melitupi paru-paru. Pesakit biasanya berasa sakit ketika menarik nafas akibat paru-paru yang mengembang menyentuh lapisan pleura. Pleuritis mungkin berlaku akibat jangkitan kuman dan cara rawatannya adalah dengan merawat jangkitan tersebut.

* Costochondritis (Sindrom Tietze)

Masalah ini melibatkan keradangan dan bengkak pada satu atau lebih tulang rawan costal pada tulang rusuk pesakit. Antara puncanya adalah trauma atau batuk yang berpanjangan. Kesakitan akibat masalah ini turut melibatkan tulang rusuk dan pesakit akan berasa lebih sakit jika kawasan terbabit ditekan. Rasa sakit pada dada akibat masalah ini juga berpanjangan dan boleh mencecah berhari-hari lamanya.

Selain tulang rusuk dan rawan costal, kesakitan pada otot dada juga diletakkan di bawah kumpulan ini. Antara punca kepada masalah ini adalah senaman keras atau terlalu berat yang mencederakan struktur tulang, otot atau rawan pada dada. Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini menyangkakan mereka, mengalami serangan jantung tetapi costochondritis mudah dibezakan dengan sakit jantung atau reflux asid memandangkan kedua-dua keadaan berkenaan tidak menyebabkan kesakitan bertambah jika dada ditekan.

Pesakit selalunya hanya perlu mengambil ubat penahan sakit untuk masalah ini dan akan pulih selepas satu masa tertentu, bergantung kepada punca masalah berkenaan.

* Tekanan pada saraf

Masalah ini berpunca daripada tekanan pada saraf tunjang akibat dihimpit tulang belakang ‘cervical’ yang semakin rapat. Kesakitan yang mulanya dirasakan pada leher boleh beralih ke dada dan boleh berlaku kepada golongan muda ataupun yang berusia. Walaupun jarang berlaku, masalah ini mungkin dihadapi mereka yang mengalami kecederaan teruk pada leher.

Masalah ini boleh dikesan melalui imbasan Sinar-X atau imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) ke atas tulang belakang pesakit. Rawatan untuk masalah ini biasanya melibatkan ubat dan fisioterapi tetapi pembedahan mungkin diperlukan untuk pesakit dengan masalah yang lebih serius.



Barah sel palsma sum-sum tulang
17/02/2008, 17:44
Filed under: Health And Living

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

Multiple myeloma kerap menyerang pesakit berumur 60 tahun ke atas akan menyebabkan tulang cepat rapuh, patah

SELEPAS leukemia, barah sel plasma sum-sum tulang atau multiple myeloma (MM) adalah kes barah darah yang kerap berlaku. Secara umum pada peringkat global, dianggarkan antara lima hingga enam kes baru MM dikesan di kalangan 100,000 orang setahun.

Menurut statistik Yayasan Kebangsaan Amerika, di negara itu saja sebanyak 15,980 kes baru dicatatkan pada 2005. Ketika ini ada seramai 50,000 pesakit MM di Amerika.

Pakar Perubatan Am dan Respiratori, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Fazilah Ahmad, berkata MM terjadi apabila pembentukan sel plasma dalam sum-sum tulang hilang kawalan walaupun tanpa rangsangan seperti jangkitan kuman.

Dr Fazilah berkata, keadaan ini menyebabkan sel plasma terlalu banyak dan merebak ke seluruh tulang. Ia menyebabkan pembentukan sel darah merah, sel darah putih dan platelet berkurangan dalam sum-sum tulang.

“Kekurangan sel darah merah menyebabkan anemia, mudah letih dan sukar pernafasan. Jumlah platelet yang sedikit menyebabkan pesakit mudah mengalami masalah pendarahan dan kekurangan sel darah putih sehingga sistem imun tubuh berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, MM akan menyebabkan tulang cepat rapuh dan pesakit cenderung mengalami patah tulang.

“Sebab sebenar MM tidak diketahui. Bagaimanapun, ada beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan MM termasuk usia dan keturunan,” katanya.

Faktor MM

Walaupun sebab sebenar MM tidak diketahui, secara umumnya MM bermula dengan sel plasma abnormal yang membiak (multiply). Ini kerana ia tidak matang dan mati seperti kebanyakan sel normal, ia berkumpul dan mempengaruhi penghasilan sel sihat.

Secara perbandingan, sum-sum tulang yang sihat mengandungi jumlah sel plasma kurang daripada lima peratus tetapi bagi mereka yang menghidap MM, jumlahnya melebihi lebih 10 peratus.

Walaupun konsep ini difahami dan sedang cuba diselidik menerusi kajian DNA, hingga kini sebab sebenar tidak diketahui. Bagaimanapun, ada beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan MM.

Risiko berkenaan ialah:

  • Usia – semakin meningkat usia seseorang, semakin tinggi risikonya terhadap MM. Kebanyakan pesakit MM berusia lebih daripada 65 tahun. Jarang sekali pesakit berumur 40 tahun ke bawah diserang MM manakala lelaki didapati lebih ramai menghidap penyakit itu berbanding wanita.
  • Keturunan – Di Amerika, mereka yang berketurunan Afrika lebih cenderung menghidap MM berbanding mereka yang berketurunan Asia, tetapi sebabnya tidak diketahui.
  • Pendedahan kepada bahan kimia tertentu selain kadar radiasi yang tinggi juga dikaitkan dengan faktor risiko MM.
  • Obesiti – Kajian yang dilakukan Persatuan Barah Amerika menunjukkan kegemukan juga meningkatkan risiko MM.

    Mengenali Simptom MM

    Walaupun MM mungkin tidak menyebabkan simptom pada peringkat awal masalahnya, perkembangan MM akhirnya akan menyebabkan beberapa simptom lain muncul. Simptomnya pelbagai dan berbeza-beza mengikut individu.

    Antara simptom MM adalah seperti berikut;

  • Sakit tulang terutama pada bahagian belakang dan tulang rusuk
  • Kalsium tinggi dalam darah
  • Dahaga yang keterlaluan dan kerap membuang air kecil
  • Sembelit
  • Hilang selera makan
  • Kecelaruan mental
  • Anemia
  • Jangkitan berulang seperti radang paru-paru, pundi kencing, buah pinggang atau sinusitis.

    Bagaimana MM boleh menjejaskan kesihatan?

  • Kekurangan pembentukan sel darah merah

    Akibat – keletihan, masalah kesesakan nafas dan sekiranya menjadi teruk boleh membawa kepada kegagalan jantung.

  • Kekurangan pembentukan sel darah putih

    Akibat – pertahanan badan atau sistem imun akan terjejas. Ia menyebabkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman.

  • Kekurangan pembentukan sel platelet

    Akibat – mudah mengalami pendarahan dan lebam-lebam pada badan. Pendarahan yang serius boleh berlaku sekiranya jumlah platelet menjadi terlalu rendah.

  • Rangsangan pada sel yang merapuhkan tulang (sel osteoclast)pada tulang menyebabkan proses penyerapan tulang berlaku – tulang mudah patah kerana rapuh.
  • Peningkatan garam kalsium dalam darah – Garam kalsium yang tinggi dalam darah akan membawa gejala kegagalan buah pinggang dan pengumpulan garam kalsium yang berlebihan pada organ.

    Diagnosis MM

    Berdasarkan simptom dan tanda penyakit, pemeriksaan lanjut diperlukan. Ia bagi menentukan tahap keseriusan dan penyebaran penyakit. Selain itu, ia bagi menentukan komplikasi penyakit dan memantau keberkesanan rawatan.

    Selain itu, perlunya ujian darah antaranya;

    a) Ujian darah penuh (full blood count) untuk mengukur kadar sel darah merah, sel darah putih dan platelet.

    b) Ujian protein dan air kencing bagi mengukur kadar immunuglobulins (protein dalam darah yang bertindak melindung daripada jangkitan) tidak normal yang dikeluarkan sel myeloma.

    c) Pemeriksaan sum-sum tulang. Untuk memastikan diagnosis tepat untuk menentukan jumlah sel myeloma yang ada dan menentukan kesan terhadap sel darah merah, putih dan platelet.

    d) Pemeriksaan imbasan tulang untuk menentukan kesannya pada tulang.

    Rawatan

    Kaedah rawatan bergantung kepada keseriusan penyakit. Setiap pesakit perlu mendapat nasihat dan pemeriksaan lanjut daripada pakar sebelum rawatan diberi. Beberapa faktor perlu diambil kira seperti rawatan kemoterapi, rawatan pemindahan sel stem dan rawatan radioterapi.



  • Hepatitis B punca 80 peratus barah hati
    17/02/2008, 17:40
    Filed under: Health And Living

    Ramai tidak tahu virus hepatitis 100 kali lebih berjangkit daripada HIV
    HEPATITIS B adalah jangkitan hati yang serius disebabkan virus hepatitis B(HBV).

    Bagi sebilangan orang, jangkitan itu boleh bertukar menjadi kronik sehingga membawa kepada kegagalan hati, barah hati atau sirrosis (keadaan yang menyebabkan hati berparut untuk selama-lamanya). Malah, HBV dikatakan punca utama barah hati dan sirrosis yang kronik.

    Mengikut statistik, hepatitis B kronik menduduki tangga ke 10 dalam carta punca kematian paling utama di seluruh dunia dengan kira-kira 350 juta orang dijangkiti sepanjang hayat.
    Malah, hepatitis B kronik juga menjadi punca 80 peratus daripada barah hati utama dunia. Dianggarkan setiap tahun kira-kira 1.2 juta individu meninggal dunia akibat penyakit hati kronik yang berkaitan dengan hepatitis B. Di Malaysia, dianggarkan 5.24 peratus penduduk mengalami hepatitis B (kira-kira 1.3 juta).

    Secara saintifiknya, hepatitis B berpunca daripada virus hepatitis B yang menyerang sel hati. Virus ini boleh dipindahkan daripada ibu kepada anak ketika proses kelahiran atau menerusi pemindahan darah atau pendedahan terhadap darah dan bendalir lain daripada pesakit.

    Virus ini 100 kali lebih berjangkit daripada HIV, dan kebanyakan orang tidak menyedari mereka dijangkiti. Ini kerana gejala penyakit hepatitis B mungkin tidak muncul dengan serta-merta. Justeru, ramai pesakit hepatitis B kronik mengambil sikap sambil lewa dalam mendapatkan pemeriksaan. Sikap ini juga mungkin didorong oleh kurangnya pengetahuan mengenai program rawatan yang khusus untuk mengawal virus hepatitis B.

    Presiden Yayasan Hepar Malaysia (MLF) yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata penting untuk pesakit hepatitis B kronik mendapatkan pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan tahap penyakit mereka supaya rawatan yang khusus boleh dijalankan.

    Katanya, ada juga kes membabitkan segelintir doktor yang tidak mengetahui wujudnya protokol rawatan untuk pesakit hepatitis B. Ini menyebabkan timbulnya salah anggap oleh pesakit yang berasakan mereka tiada harapan untuk mendapatkan rawatan.

    “Sikap segelintir doktor itu adalah masalah yang serius kerana pesakit yang tidak mendapatkan rawatan kemungkinan besar akan berhadapan komplikasi penyakit yang lebih serius seperti penyakit hati kronik, sirrosis dan kanser hati.

    “Oleh itu, pesakit hepatitis B seharusnya didiagnosis supaya dapat ditentukan sama ada rawatan diperlukan atau tidak selain jenis dan tempoh rawatan yang sesuai. Walaupun ada sebilangan pesakit yang tidak memerlukan rawatan serta-merta, mereka ini juga harus mendapatkan nasihat doktor supaya komplikasi penyakit boleh dielakkan,” katanya.

    Katanya, diagnosis awal serta rawatan yang betul dapat menyelamatkan nyawa. Paling penting, hepatitis B boleh merosakkan hati dan disebarkan kepada orang lain walaupun anda tiada memiliki sebarang tanda dan simptom.

    “Justeru, penting untuk anda membuat ujian jika anda percaya anda terdedah pada jangkitan hepatitis B,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya jangan terpedaya untuk membeli sebarang makanan tambahan yang boleh membaiki fungsi hati tanpa sebarang pengesahan daripada doktor pakar yang bertauliah.

    Gejala

    Bagi sesetengah orang, hepatitis B menunjukkan simptomnya pada peringkat awal (terutama bagi bayi dan kanak-kanak) tetapi bagi sesetengah yang lain pula tanda awal tidak kelihatan. Secara umumnya gejala hepatitis B akan muncul 12 minggu selepas anda dijangkiti dan ia boleh terjadi sangat serius atau pada tahap ‘lemah’ (mild).

    Rawatan

    Ada banyak rawatan hepatitis B yang ada di pasaran. Antaranya Sebivo® yang dilancarkan

    Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd. Sebivo adalah ubat oral sekali sehari yang boleh diambil bersama atau tanpa makanan. Ia berfungsi dengan mengekang HBV secara pantas dan berkesan di kalangan pesakit dewasa yang menunjukkan tanda-tanda penggandaan virus dan radang hati aktif.

    Pelan rawatan bagi pesakit hepatitis B kronik bergantung kepada peringkat penyakit itu. Justeru, penting untuk pesakit menemui doktor secara berkala untuk pemeriksaan walaupun mereka tidak memerlukan ubat buat masa ini.

    Ini bagi menentukan rancangan pengurusan dan jenis terapi yang sewajarnya berasaskan keadaan mereka. Pengesanan awal amat penting kerana ia boleh mencegah kerumitan serius yang dihadapi pesakit pada masa depan dan membantu meningkatkan kualiti kehidupan.

    INFO: Simptom hepatitis B

  • Kurang selera makan
  • Loya dan muntah
  • Lemah dan pening
  • Sakit perut terutama di sekeliling atau berdekatan hati
  • Air kencing berwarna gelap
  • Kulit yang kekuningan dan mata berwarna putih (jaundis)
  • Sakit sendi.



  • Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.